fbpx

Azizulhasni raih emas berganda ACC 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI diraikan oleh ahli keluarga dan penyokong selepas berjaya meraih pingat emas acara akhir (Lelaki) Elite Keirin pada ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai sebentar tadi. - AMIR KHALID

NILAI – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus menampilkan kayuhan bertenaga apabila merangkul emas kedua pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) selepas memenangi aksi final keirin hari ini.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai itu, Azizulhasni memastikan pingat emas ke-12 sepanjang penyertaan dalam saingan ACC selepas mengenepikan cabaran pelumba Jepun, Shinji Nakano dan rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Dia yang turut memenangi emas acara pecut Jumaat lalu bagaimanapun mengakui perlumbaan hari ini agak sukar kerana perlu bermula di posisi ketujuh selain berdepan cabaran tiga pelumba Jepun.

“Ada tujuh pelumba di perlumbaan akhir hari ini, agak sukar kerana kebiasaan hanya enam pelumba. Selain itu, saya juga bermula di posisi ketujuh tetapi saya hanya berdoa sahaja.

“Sebaik sahaja perlumbaan bermula, saya guna strategi untuk terus pergi ke depan kerana dua pelumba Jepun sangat kuat. Oleh itu, saya tidak mahu ambil risiko jika tunggu mereka.

“Sebaik berada di depan, saya cuma kekalkan kelajuan dan mula ‘full gas’ ketika perlumbaan berbaki satu pusingan. Ketika sebelah menyebelah dengan pelumba Jepun (Nakano), saya seolah-olah berada dalam dunia sendiri dan memecut ke garisan penamat,” katanya selepas tamat saingan.

Sementara itu, Azizulhasni juga menghamburkan pujian selain memberi gelaran ‘The Terminator’ kepada Shah Firdaus kerana masih mampu merangkul gangsa biarpun terlibat kemalangan di separuh akhir sehingga dia mengalami kecederaan.

“Dia (Shah Firdaus) memang ‘The Terminator’ kerana benda (kemalangan) itu berlaku di depan saya. Dia terpelanting, namun masih bangun dan menamatkan perlumbaan, ianya sukar dipercayai.

“Saya tengok badannya ada kayu dan karbon tempat duduk yang patah. Jika dia mengalah awal, tidak mungkin Shah akan berada di pentas final dan seterusnya merangkul pingat gangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Shah Firdaus berkata, dia bangkit meneruskan perlumbaan di separuh akhir kerana mahu menamatkan saingan selain mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Pada awal aksi separuh akhir tiada masalah. Apabila Jepun memulakan langkah, kayuhan saya baik tetapi tiba-tiba saya tak tahu apa berlaku, rupanya pelumba China tersilang tayar dengan pelumba Jepun dan kami berlima ‘terbang’.

“Saya hanya nak habiskan perlumbaan sahaja walaupun nombor enam, misi saya untuk kumpul mata Olimpik. Saya ambil basikal dan kayuh sahaja walaupun basikal ranap teruk dan berjaya sampai ke garisan penamat,” katanya. – KOSMO! ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI