JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dilihat masih belum puas apabila mengakui masih ‘dahagakan’ kemenangan untuk menambah koleksi pingat emas ke-12 pada kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023.
Pelumba kelahiran Terengganu tersebut mencipta sejarah tersendiri kelmarin apabila meraih emas ke-11, sekali gus melengkapkan legasi di pentas Asia tersebut.
Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman tidak akan memperlahankan rentaknya kayuhannya apabila bertekad untuk mencipta kemenangan menjelang acara diminatinya, keirin individu yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai hari ini.
Bagi Azizulhasni, strateginya yang akan digunakan dalam acara terakhirnya itu mungkin berbeza terutama bagi mengekang asakan dua pelumba Jepun.
“Kenapa tidak (emas ke-12). Sasaran saya sekurang-kurangnya satu pingat emas dan selepas ini keirin. Anda semua tahu yang saya tidak akan main-main, saya akan berusaha dengan penuh gigih.
“Saya berlumba dengan kurang tekanan kerana saya sudah capai sasaran saya, jadi tengoklah bagaimana perlumbaan Ahad nanti. Saya tak tahu perancangan John Beasly mungkin tolong Shah Firdaus Sahrom atau bergerak sendiri.
“Apapun saya ingin meraikan kejayaan ini dulu, pantas mencari kecergasan semula dan selepas itu bincang mengenai perancangan Ahad nanti. Nak menang, memang nak menang kerana keirin adalah acara kegemaran saya. Apa pun, kita tengok bagaimana perancangan John dulu,” kata Azizulhasni selepas menambah koleksi emas ke-11 dalam acara pecut individu semalam.
Selain Azizulhasni, turut dijadual beraksi dalam acara keirin individu adalah Shah Firdaus Sahrom dengan pelumba muda itu percaya seniornya itu tidak akan memperlahankan kayuhan dalam misi memburu kilauan emas seterusnya.
Pada saingan pecut semalam, Azizulhasni berjaya merampas semula pingat emas acara pecut individu selepas mengatasi pelumba Jepun, Kaiya Ota 2-0.