fbpx

Wang RM4,000 hasil jual lembu korban hangus dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Hashim melihat rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Dalam Rhu Hujung, Tumpat malam tadi. -Foto ROHANA MOHD. NAWI/KOSMO!

TUMPAT – Seorang pengawal keselamatan terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan wang tunai sebanyak RM4,000 hasil jualan seekor lembu korban selepas rumahnya di Kampung Dalam Rhu Hujung di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Wan Hashim Wan Hak, 42, berkata, selain wang tunai, pelbagai perhiasan emas milik isterinya yang dianggarkan bernilai RM5,000 turut hangus apabila kedua-dua barangan tersebut diletakkan di dalam satu beg.

Menurutnya, dalam kejadian kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, dia sedang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Tumpat 2 di sini sebelum dihubungi isterinya, Norsyuhada Mohamad, 29, yang memaklumkan rumah mereka terbakar.

“Saya terus bergegas pulang dan mendapati api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah. Nasib baik isteri bersama tiga anak yang berusia dua hingga lapan tahun sempat menyelamatkan diri.

“Kami sekeluarga agak terkilan apabila tidak dapat menyelamatkan hasil jualan seekor lembu korban yang berada di dalam simpanan, namun, saya tetap bersyukur dan reda apabila semua ahli keluarga selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Norsyuhada berkata, ketika kejadian, dia sedang menyusu anak bongsunya di dalam sebuah bilik belakang sebelum terhidu bau hangit dan melihat kepulan asap.

Katanya, dia mendapati berlaku kebakaran di dalam bilik stor yang menyimpan tilam, bantal dan pelbagai barangan lain.

“Api merebak terlalu cepat sehingga hampir menyambar kami empat beranak. Saya dan anak-anak terus bergegas keluar dan menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran itu.

“Beberapa penduduk yang berada berhampiran rumah cuba memadam kebakaran dengan menyimbah air, namun gagal apabila api dilihat merebak dengan cepat,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.02 malam sebelum 22 orang pegawai dan anggota dari tiga balai bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran setengah jam kemudian dan rumah terbabit musnah hampir 90 peratus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI