PETALING JAYA – Dalam kekecohan pengguna media sosial mengecam Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang menyatakan pakaian seragam jururawat terlalu ketat dan tidak patuh syariah, ramai juga yang bersetuju agar pakaian itu diubah.
Walau bagaimanapun, mereka yang menggesa pakaian seragam itu harus ditukar berkata, ia dapat memudahkan pergerakan selain warna putih yang cepat kotor.
Menerusi ciapan oleh @azmanrocks, jururawat hari-hari berdepan dengan kotoran seperti najis, darah, muntah.
“Pakaian seragam jururawat memang patut ditukar. Tapi bukan sebab ketat atau seksi. Ia perlu ditukar sebab pakaian seragam warna putih sangat susah nak dijaga.
“Jururawat hari-hari berdepan dengan kotoran darah, najis, muntah, pen dalam poket bocor, dakwat ‘rubber stamp’ kena lengan baju,” ciapnya.
Sehingga kini ciapannya telah mendapat ulang ciap 1,757 dan 3,783 tanda suka.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang bersependapat dan turut menggesa agar pakaian seragam diubah kepada baju ‘scrubs’ (baju bilik bedah) kerana lebih ringan dan tidak panas.
“Saya setuju, hospital pula panas. Bila warna putih dah kena pakai berlapis pula. Isunya bukan warna, tetapi sangat-sangat panas dan susah buat kerja. Dah cadang banyak kali dah pakai ‘scrub’,” ciap Syalizz.
“Jenis kain yang diguna untuk pakaian seragam jururawat pun tidak sesuai. Walaupun bekerja dalam hospital yang berhawa dingin, tetap panas dan tidak selesa. Sekali lakukan proses bantuan pernafasan (CPR), habis berpeluh,” ciap Nadhirah pula.
“Ada pula hospital yang pakaian seragam jururawat, lengan separuh ataupun lengan pendek. Tidak praktikal kalau pakai dengan ‘inner’ (baju dalam). Melainkan ditukar kepada ‘scrub’, agak selesa sikit kalau pakai inner panjang pun,” ciap Iman.
“Tolong lah pakai ‘scrub’ dan kasut sukan. Nak berlari pun senang, nak CPR senang. Tidak ada bentuk-bentuk pinggang seksi. Kerja luar negara semua pakai ‘scrub’. Harap buat untuk jururawat Malaysia sekali,” ciap Nadhirah yang kini sedang bekerja di sebuah hospital di Bahrain. – KOSMO! ONLINE