KETIADAAN bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann tidak memberi kesan besar terhadap perkembangan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, tidak ada sebarang perubahan terhadap program latihan pemain yang berada di ranking ke-21 dunia itu dalam usaha dia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai peletakan jawatan Choong Hann menjelaskan, fokusnya sekarang adalah untuk membantu Tze Yong mencapai potensi sebenar selain terus mengutip mata kelayakan ke Olimpik.
“Ia (program latihan) berjalan seperti biasa kerana kita tahu dia (Tze Yong) ada menunjukkan peningkatan, namun sebenarnya kita tahu belum cukup. Masih ada kekurangan dan ia perlu diperbaiki.
“Progres serta latihan Tze Yong memang saya kendalikan. Sebelum ini Choong Hann tidak terlibat sangat, cuma mengenai laporan prestasi memang beliau tahu mengenainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam.
Terdahulu, peminat-peminat sukan badminton negara dikejutkan dengan keputusan Choong Hann untuk meninggalkan badan induk itu selepas memulakan khidmatnya bersama ABM sejak 2018.
Sementara itu, Hendrawan menganggap sudah tiba masanya untuk Tze Yong mula mencipta sesuatu dalam setiap kejohanan disertai kerana tidak mahu penyertaannya hanya dilihat sekadar memenuhi kuota.
“Sekarang dia berada di kedudukan 20 lebih, jadi tidak boleh lagi hanya sekadar menyertai kejohanan. Dia perlu ada keputusan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir atau dapatkan gelaran.
“Berhubung layak atau tidak (ke Olimpik), dia perlu berada dalam kelompok 16 teratas dunia. Kita masih berada di awal saingan (kelayakan), jadi masih ada masa untuk cuba masuk dalam kelompok 16 itu,” ujarnya.