PETALING JAYA – Seorang lelaki warga India berusia 30 tahun berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh teman wanitanya yang juga berasal dari negara sama di sebuah kondominum Kelana Jaya di sini pada 3 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya berjaya menahan lelaki terbabit setelah suspek bertindak menceroboh masuk ke landasan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan, bagi tujuan bunuh diri.
Katanya, suspek kemudiannya membuat pengakuan telah bertindak kejam terhadap teman wanitanya dengan menikam serta mengelar mangsa berusia 40 tahun menggunakan sebilah pisau sehingga meninggal dunia.
“Suspek yang di tangkap telah di tahan reman selama 13 hari di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri selangor dan mendapat arahan untuk tuduh suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman diseksa dengan bunuh.
“Suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada Khamis lalu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang–undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah.
“Maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh disalurkan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03 – 79662222,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan lelaki berkenaan bertindak menikam dan mengelar kekasihnya sehingga maut dipercayai gara-gara cemburu dan mengesyaki teman wanitanya mempunyai hubungan dengan rakan lelaki serumahnya.
Menurut Fakhruddin suspek kemudiannya menceroboh masuk ke landasan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan, bagi tujuan bunuh diri.
“Suspek menceroboh masuk dan bertindak meniarap di landasan untuk membunuh diri namun cubaan gagal kerana kereta api melalui landasan bertentangan dan diserahkan ke Balai Polis Cheras,” jelasnya.
Hasil soal siasat berlandaskan Seksyen 27 Akta Keterangan 1950, polis pergi ke tempat tinggal suspek dan menemui lima lelaki warga asing, seorang lelaki tempatan dan seorang warga asing di rumah sama. – KOSMO! ONLINE