SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan memastikan tiada campur tangan ahli politik berhubung perolehan aset ketenteraan negara ini.
Menurut beliau, perolehan aset ketenteraan perlu diputuskan sendiri oleh pihak ketenteraan yang terbabit bagi memastikan kesiapsiagaan dasar pertahanan negara sentiasa kukuh.
“Saya sudah bagi arahan sangat jelas kepada semua ketua pengurus masing-masing termasuk panglima tentera, darat, udara, laut dan Panglima Angkatan Tentera (PAT).
“Kalau nak beli kapal, senapang, biar ambil keputusan profesional daripada bahagian masing-masing…orang-orang politik, ejen-ejen luar jangan masuk campur.
“Apabila ia sudah diputuskan, kita akan bincang dengan Kementerian Kewangan mengenai kos (pembelian) dan kita runding terus antara kerajaan-kerajaan untuk mengelakkan ketirisan,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Pangkalan Udara Butterworth sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-65, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE