KEMAMAN – Pasangan suami isteri maut, manakala dua anak mereka cedera setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 267.1, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Perasing di sini hari ini.
Dalam kemalangan pukul 4 petang itu, Zahidah Hanisah Mohamad, 35, yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah, Paka, Dungun dan suaminya, Mohd Ridzuan Mohd Yaacob, 35, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, keluarga tersebut dikatakan ke rumah mereka di Kampung Sekati, Kuala Terengganu dari Kuantan, Pahang.
“Kereta Proton Saga dipandu suami mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas merempuh penghadang kiri jalan menyebabkan kereta dinaiki mereka terseret sejauh kira-kira 33 meter sebelum melanggar pembahagi lebuh raya lalu terbalik,” katanya di sini hari ini.
Hanyan berkata, keempat-empat mangsa tercampak keluar dari kenderaan mereka, namun anak pasangan suami isteri berkenaan, Muhamad Uwais Wafiuddin, 8, dan Raudhatul Khayra, 3, sekadar mengalami cedera ringan,” katanya. – KOSMO! ONLINE