LUMUT – “Kita menjadi menteri ini perlu merakyat (bukan duduk di pejabat sahaja),” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Beliau menjelaskan tugas seorang menteri selain berada di pejabat untuk merangka dasar negara serta menyelesaikan tugasan lain, perlu juga berjumpa rakyat dan merasai denyut nadi kehidupan mereka.
“Jadi apa benda yang dikatakan tidak sepadannya (dengan prestasi seorang menteri).
“Daripada duduk pejabat membuat polisi, dasar, menyelesaikan tugas di pejabat, samalah juga kita turun padang, kadang-kadang petani dan orang kampung mahu melihat menteri berjumpa mereka seperti orang kampung.
“Tidak salah pun, dia (Menteri Besar Kedah) pun lebih daripada itu lagi, jadi tidak perlulah kita nak layan benda-benda macam itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Seri Manjung, dekat sini hari ini.
Timbalan Presiden Amanah itu diminta mengulas sindiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terhadap perbuatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang menunggang seekor lembu ‘Sado’ dalam satu majlis di Kelantan, baru-baru ini.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dipetik berkata ‘ada orang pi naik lembu, jadi menteri masalah tidak selesai’.
Beliau dilaporkan mengaitkan tindakan Presiden Amanah itu dengan prestasinya yang didakwa mendukacitakan. – KOSMO! ONLINE