GOPENG – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas kereta yang dinaiki terbabit nahas dengan sebuah treler di Kilometer 301.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Zweill Haikal Ghazali beralamat di Georgetown, Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Nahas sekitar pukul 6.22 pagi itu turut mengakibatkan ibu mangsa berusia 49 tahun serta dua abang dan adik lelakinya cedera.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Savvy dinaiki lima beranak itu dengan sebuah treler dipandu lelaki berusia 50 tahun.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke Cyberjaya untuk mendaftarkan dirinya dan abang berusia 20 tahun di Universiti Malaya (UM).
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu abang mangsa berusia 24 tahun dipercayai gagal dikawal lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan treler yang sedang bergerak di lorong sebelah kiri.
“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang parah di kepala dan maut di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kemalangan itu turut menyebabkan pemandu kereta mengalami pendarahan di perut manakala ibu mangsa pula patah paha kiri.
Katanya, dalam kejadian itu pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE