SEBERANG PERAI – Qari orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi,25, dinobat sebagai johan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444/2023M di Butterworth Arena, di sini malam tadi.
Lebih membanggakan lagi, anak sulung daripada enam beradik itu adalah qari pertama OKU yang berjaya menjadi johan selepas pertandingan berprestij itu berlangsung sejak tahun 1947.
Sementara itu, Nor Hidayah Abd Rahman,32, dari Terengganu diumum sebagai johan tilawah kategori qariah.
Kedua-duanya layak membawa pulang RM20,000, selain tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.
Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dijangka berlangsung Ogos depan.
Tempat kedua pula dimenangi qari Aiman Ridhwan Ramlan (johan menunggu) dan qariah dari Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar. Mereka membawa pulang RM15,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.
Tempat ketiga dimenangi qari Mohamad Husaini Mahmur dari Negeri Sembilan dan qariah Nurul Nadiah Hashim dari Negeri Sembilan.
Peserta dari Johor, Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan diumumkan johan hafiz bagi kategori 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir, manakala peserta Sabah, Dian Karisma Mohd Japar dinobatkan johan hafizah. Mereka masing-masing membawa pulang RM20,000 dan wang tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji.
Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk berserta tafsir, hafiz dari Terengganu, Muhammad Fakhrurazi Yahaya dinobatkan sebagai johan manakala peserta dari Melaka, Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam dinobatkan johan hafizah.
Untuk kategori 1 hingga 10 juzuk berserta tarannum, hafiz dari Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahim Shari dan Siti Nabilah Zamri dari Melaka dinobatkan sebagai juara. – KOSMO! ONLINE