SHAH ALAM – Keputusan sama ada bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diketahui selepas selesai mesyuarat pengagihan kerusi Perikatan Nasional (PN) pada 22 Jun ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya masih menunggu kata putus daripada Mohamed Azmin untuk bertanding (seterusnya sama ada dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor).
“Sama ada Azmin Ali menjadi calon MB Selangor atau tidak, itu tidak penting untuk kita umum. Nanti kita umumkan (siapa yang akan jadi MB) apabila masa sesuai nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan jentera Pemuda PN di Pusat Konvensyen I-City, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor membayangkan tidak bertanding dalam PRN kerana mahu memberi laluan kepada calon muda yang berpotensi dalam PN untuk bertanding.
Sementara itu, Muhyiddin turut menjelaskan, PN yang akan bertanding di semua 56 kerusi DUN di Selangor belum memutuskan parti mana yang akan mendapat lebih banyak kerusi di Selangor. – KOSMO! ONLINE