TUMPAT – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan logo masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan penggunaan logo itu setakat ini hanya diputuskan untuk negeri Kelantan.
Menurutnya, bagi PRN di Terengganu pula, keputusan penggunaan logo bagi PH dan BN masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.
“Soal penggunaan logo untuk PRN di Terengganu masih dalam perbincangan. Di Kelantan, kita akan guna logo PH.
“Jadi, BN akan guna logo mereka sendiri dan PH akan guna logo sendiri (di Kelantan), tetapi tidak bertembung dari segi kerusi yang ditandingi,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Teluk Renjuna di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, PH akan bertanding 14 kerusi DUN manakala BN pula 31 kerusi pada PRN tidak lama lagi. – KOSMO! ONLINE