SUBANG JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung video tular kejadian kes mati ditembak yang terjadi di kawasan Bandar Sunway.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya terkesan beberapa video dan gambar ditularkan di laman media sosial berkenaan kejadian kes tembak di kawasan Bandar Sunway pada 7 malam tadi.
Katanya, satu laporan polis dibuat berkaitan video yang tular berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video kejadian mati ditembak yang tular di media sosial.
“Sekiranya didapati terdapat sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang, kita akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga sedang mengesan pemilik akaun yang menyebarkan video terbabit untuk diambil keterangan serta membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah tersebut untuk menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Faiz Naufal Zakaria di talian 019-4858907.
“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang lelaki maut ditembak oleh tiga individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah kedai aksesori telekomunikasi di Jalan PJS 11/28, Bandar Sunway, di sini tengah hari, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.35 petang itu, mangsa berusia 32 tahun, mempunyai rekod jenayah samun serta curi disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Serdang.-KOSMO! ONLINE.