fbpx

Penghantar barang terjun jambatan 10 meter demi selamatkan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Qinglin terjun dari ketinggian 10 meter untuk menyelamatkan wanita itu. - Mothership

BEIJING – Seorang penghantar barang di China nekad terjun dari sebuah jambatan untuk menyelamatkan seorang wanita yang cuba membunuh diri di sungai, lapor portal berita Mothership semalam.

Peng Qinglin, 31, merupakan seorang penghantar barang yang bekerja di sebuah platform beli-belah, Meituan yang berpangkalan di China.

Portal berita China Daily melaporkan, Qingling yang sedang dalam perjalanan menghantar barang dengan menunggang basikal elektroniknya, mendengar suara minta tolong ketika melintasi jambatan itu.

Dia segera menanggalkan cermin mata dan kasut serta meletakkan telefonnya sebelum melompat ke dalam air pada ketinggian 10 meter.

Sebaik sahaja mendarat di dalam air, Qingling merasakan keadaan tidak selesa di mana banyak air masuk dari mulut ke dalam hidungnya. Dia kemudian berenang ke arah wanita berkenaan sebelum cuba menariknya ke arah jambatan. 

Polis tempatan dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar pukul 1.08 tengah hari (waktu tempatan) sebelum sebuah bot laju dihantar ke lokasi tersebut.

Anggota penyelamat melempar pelampung ke arah Qingling dan wanita berkenaan sebelum bot polis menghampiri untuk menyelamatkan mereka. Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke hospital tempatan.

Qingling dilaporkan mengalami keretakan pada tulang belakang akibat lompatan itu. Dia terpaksa ditahan di hospital selama tujuh hingga 10 hari.

Akhbar Dushi Kuaibao melaporkan, Qingling dianugerahkan pingat penghormatan ketenteraman awam kelas pertama oleh jabatan polis dan ganjaran wang tunai lebih 29,773 yuan (RM19,279).

Syarikat penghantaran Meituan turut menghargai usaha Qingling dengan memberinya gelaran ‘Penunggang Perintis’ dan wang tunai lebih 49,445 yuan (RM32,017).

Ramai pengguna dalam talian mengagumi keberanian Qingling dan menganggapnya sebagai wira. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI