fbpx

Penantian 60 tahun berakhir, tidak perlu bergelap lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk Orang Asli menunjukkan meter elektrik yang telah dipasang di rumahnya di Pos Tuel, Gua Musang kelmarin.

GUA MUSANG – Penantian 2,000 Orang Asli suku Temiar di Pos Hendrop dan Pos Tuel di sini untuk menikmati bekalan elektrik sejak lebih 60 tahun lalu akhir­nya tercapai apabila mereka menerima kemudahan itu sejak bulan lalu.

Penghulu Kampung Hanir Pos Tuel, Razak Rongging berkata, kemudahan elektrik yang diusahakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu nyata memberi kegembiraan kepada penduduk selepas menunggu sekian lama.

Sebelum ini, katanya, penduduk terpaksa bergantung dengan lilin, pelita dan enjin ge­nerator pada waktu malam.

“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana membantu menyalurkan kemudahan ini.

“Sejak dahulu lagi kami mahu bekalan elektrik kerana kemudahan ini sangat diperlukan untuk urusan harian,” katanya.

Zaiton Anjang, 37, pula berkata, dia teruja apabila boleh menggunakan peralatan elektrik seperti televisyen, peti sejuk dan kipas seperti penduduk di bandar.

Katanya, buat masa ini dia dan keluarganya sedang mengumpul wang bagi membeli peralatan ­elektrik berkenaan.

“Sebelum ini, kami terpaksa guna generator sehingga perlu menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi kos pembelian petrol dan membaiki kerosakan.

“Kami berharap pihak TNB dapat membantu memberi penjelasan tentang penggunaan tenaga elektrik kerana kebanyakan penduduk merupakan pengguna baharu. Kami juga bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini seperti kejadian litar pintas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutamanya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atas penyambungan bekalan elektrik untuk 450 keluar­ga di kawasan itu.

“Penduduk dari pelbagai kampung seperti Kampung Sungai Ber, Kampung Plug, Kampung Kerbok, Kampung Hendrop dan Kampung Tuel telah mendapat manfaat yang ditunggu sejak sekian lama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI