RAWANG – Seorang lelaki warga Amerika Syarikat cedera akibat terjatuh ketika mandi di Air Terjun Rimba Kanching, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada pukul 11.16 pagi.
Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 11.40 pagi.
“Mangsa berusia lingkungan 29 tahun dipercayai terjatuh ketika mandi di lokasi kejadian bersama 10 lagi rakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian pinggang menerusi pemeriksaan awal yang dijalankan.
“Mangsa kemudian dibawa turun oleh anggota bomba terlibat untuk rawatan selanjutnya,” katanya.-KOSMO! ONLINE.