KEDIAMAN yang menggabungkan konsep Jepun dan Scandinavian atau lebih dikenali sebagai Japandi kian popular dalam kalangan pemilik kediaman di Malaysia.
Ini kerana, konsep minimalis dan serba ringkas hasil gabungan kedua-dua konsep itu menjadikan kediaman tampak lebih luas dan mendamaikan.
Bagi Muhammad Hamidi Yusoff atau lebih mesra dengan panggilan Midi, konsep itu berjaya memikat hatinya.
Lantas, konsep tersebut diterapkan pada kediaman jenis serviced apartment miliknya yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Jelas Midi, taruhan utama konsep Japandi terletak pada tatarias yang cukup minimalis.
“Jika dilihat, perabot-perabot dan barangan dekorasi lain yang diletakkan di rumah saya ini adalah jenis yang nipis atau slim serta minimalis.
“Ia bagi memberikan efek kediaman yang luas. Minimalis juga diterjemahkan menerusi jumlah perabot.
“Sekiranya saya rasa tidak memerlukan perabot tersebut, maka ia tidak diletakkan di dalam kediaman, sebagai contoh kabinet televisyen.
“Hasilnya, ruang tamu tampak luas dan ada nilai estetikanya yang tersendiri,” ujarnya.
Saat kaki melangkah masuk ke ke rumah seluas 74 meter persegi itu, mata disapa dengan cat rona neutral yang memberi efek sejuk dan damai pada kediaman.
Titik tumpuan ruang tamu terletak pada ‘stand’ yang digunakan untuk meletakkan televisyen, sekali gus memberikan karakter pada ruangan tersebut.
Ia juga merupakan ruangan paling disukai oleh Midi pada kediaman itu.
Midi memilih sofa rekaan moden daripada warna putih krim untuk disesuaikan dengan tema kediaman.
Di sebelahnya pula, dia meletakkan satu unit kerusi jenis rotan bagi menyuntik kelainan.
“Bagi pemilihan warna kediaman, saya menggunakan tiga warna sahaja iaitu putih, coklat dan hitam.
“Sesekali, saya ada bermain dengan tona-tona berbeza daripada tiga warna tadi sama ada sedikit gelap atau sedikit cerah,” ujarnya.
Midi juga menyuntik elemen semula jadi dan segar pada kediaman yang dihuninya sejak Februari tahun lalu itu.
Dia meletakkan beberapa pokok hijau di sekitar kediaman tersebut.
Jelasnya, pokok-pokok berkenaan berfungsi untuk menghilangkan elemen suram yang mungkin tercipta hasil daripada gabungan tiga rona digunakan oleh Midi.
Menjengah ke ruangan makan kediaman tersebut, Midi meletakkan foto yang diambilnya sendiri sewaktu melancong di sudut itu.
“Ini merupakan mini gallery wall yang dibuat sendiri. Ia bagi memberikan sedikit warna pada ruangan ini,” katanya.
Jelas Midi, dia banyak mendapat inspirasi menghias kediaman daripada YouTube, khususnya daripada rancangan, Kristen McGowan.
Selain itu, dia banyak membuat penyelidikan sendiri berkaitan seni menghias kediaman daripada pakar hiasan dalaman yang profesional.
“Hasil menonton rancangan sedemikian, saya dapat belajar mencantumkan konsep yang diajar dengan cita rasa sendiri,” katanya yang merupakan seorang guru sekolah.
Tidak keberatan berkongsi, Midi menjelaskan dia menghabiskan sekitar RM35,000 bagi menghias kediamannya.
Tambahnya, dia gembira dengan hasil sedia ada, namun dia berhasrat untuk menghias kediamannya dengan konsep gelap selepas ini.