fbpx

Kaki ‘Mek Blau’ cedera akibat masuk jerat pemburu haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Mek Blau selepas diselamatkan oleh anggota Perhilitan di Ladang Metro NTT, Pos Blau dekat Gua Musang semalam. -Foto PERHILITAN

KOTA BHARU – Seekor harimau belang betina cedera apabila pergelangan kaki kiri depannya masuk ke dalam jerat dawai yang dipercayai dipasang oleh kumpulan pemburu haram di Ladang Metro NTT, Pos Blau dekat Gua Musang kelmarin.

Haiwan yang diberi nama Mek Blau seberat 80 kilogram dengan anggaran usia empat hingga lima tahun itu diselamatkan oleh 21 orang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menjalankan operasi di kawasan tersebut semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan melalui telefon daripada kakitangan ladang yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut pagi kelmarin.

Menurutnya, Kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Gua Musang segera ke lokasi kejadian dan mendapati aduan yang diterima adalah benar.

“Jerat dawai tersebut dipercayai telah dipasang oleh kumpulan pemburu haram dan tindakan tersebut menyalahi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646).

“Lokasi kedudukan harimau yang terkena jerat itu agak sukar diakses apabila ia terletak di kawasan cerun tinggi iaitu di tebing sungai. Anggota Perhilitan menggunakan bot untuk meninjau keadaan haiwan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Hafid memberitahu, keadaan cuaca hujan lebat pada sebelah petang juga menyukarkan tinjauan untuk kerja- kerja menyelamat.

Menurutnya, tinjauan dari udara menggunakan dron telah dilakukan keesokan harinya sebelum operasi menyelamat harimau betina itu dijalankan.

“Ubat pelali telah digunakan untuk menidurkan sementara haiwan tersebut yang terkena jerat pada pergelangan kaki kiri bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat.

“Rawatan kecederaan, pemeriksaan fizikal dan pengambilan sampel darah harimau itu telah dilakukan oleh Pegawai Veterinar Jabatan Perhilitan sebelum ia dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan untuk rawatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI