PUTRAJAYA – Masyarakat Islam seluruh dunia disarankan agar bijak memanfaatkan penggunaan media massa sebagai senjata berkesan bagi misi pembebasan kembali wilayah Palestin.
Perkara berkenaan disarankan Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri ketika berucap merasmikan Kongres Palestin Sedunia 2023 buat julung kali di sini hari ini.
“Umat Islam sejagat wajar mengeksploitasi teknologi media massa termasuk digital untuk membentuk pendapat awam global bagi isu perjuangan kemerdekaan Palestin.
“Jadi, pendekatan keras sepatutnya kini digantikan dengan cara komunikasi berhemah yang bersifat lembut tetapi mampu memberi impak pengaruh luas.
“Usaha berterusan bagi membina naratif pendapat awam yang cenderung memihak dan menyebelahi Palestin harus diperkukuh menerusi kaedah media massa,”katanya.
Justeru, beliau sekali lagi memuji peranan aktif dimainkan media tempatan berani dalam melaporkan fakta kekejaman rejim Zionis sehingga membuka luas persepsi masyarakat.
Bagaimanapun, usaha itu belum memadai dan Ekrima menaruh harapan supaya pandangan awam terhadap imej buruk Palestin yang dimomokkan Barat dapat diubah. – KOSMO! ONLINE