fbpx

Insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan diteruskan sehingga tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit sehingga tahun depan termasuklah insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan.

Selain itu, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah turut diberikan kepada semua pendeposit.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun merupakan insentif yang istimewa kepada pendeposit.

Ujarnya, ia kerana manfaat tersebut menjadikan Simpan SSPN satu-satunya produk simpanan yang memberikan kelebihan berbeza berbanding simpanan lain.

“Saya mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan kerana melanjutkan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan melalui Simpan SSPN sehingga tahun 2024.

“Saya optimis insentif ini akan meningkatkan motivasi serta galakan kepada ibu bapa untuk terus membuat simpanan bagi tujuan pendidikan dan masa depan anak-anak sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang membuat simpanan melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit.

“Ibu bapa yang ingin membuka atau membuat penambahan simpanan boleh dilakukan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat,” ujarnya.

Pada Mac lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengumumkan insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan Simpan SSPN dilanjutkan sehingga tahun depan.

Dengan pengumuman tersebut, pendeposit Simpan SSPN akan terus dapat menikmati keistimewaan ini disamping manfaat lain yang disediakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI