fbpx

Akauntan labur RM133,432, dapat komisen RM43

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUCHING – Seorang pesara pembantu akauntan berputih mata apabila pelaburannya sebanyak RM133,432 bukan sahaja hangus malah cuma mendapat RM43 sahaja komisen yang dijanjikan oleh sindiket penipuan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, segalanya berlaku semasa wanita berusia 60 tahun itu berada di rumah dan melihat iklan kerja sambilan di laman Facebook pada 26 Mac lalu.

Katanya mangsa kemudian meninggalkan nombor telefonnya, sebelum menerima WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali yang memperkenalkan diri dari khidmat pelanggan.

Beliau berkata suspek seterusnya memberikan ‘website cloud’ dan mangsa dikehendaki menempah barang serta dibayar oleh mangsa sendiri.

“Mangsa tertarik dengan tawaran berkenaan kerana akan diberi komisen sebanyak 35 peratus.

“Mangsa yang terpedaya seterusnya membuat bayaran secara dalam talian daripada tiga akaun miliknya, dengan 24 transaksi pembayaran berjumlah RM133,432 kepada tujuh akaun bank yang berbeza antara 12 April hingga 11 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata mangsa menyedari ditipu apabila hanya menerima komisen RM43 sahaja dan selepas itu suspek tidak dapat dihubungi lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI