PETALING JAYA – Tugas seorang guru bukanlah hanya semata-mata mengajar namun perlu melakukan banyak tugasan sampingan lain demi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pendidik.
Menerusi akaun Facebook Mohd. Fadli Salleh, dia berkata, banyak tugas sampingan yang terpaksa dilakukan guru membuatkan kebanyakan mereka bersara awal.
Dia yang juga seorang guru sekolah rendah, kemudiannya menyenaraikan 72 tugas yang perlu dilakukan oleh seorang guru antaranya adalah membasuh najis serta menyiasat kejadian curi duit anak murid.
“Antara tugas yang lain adalah guru penyayang, mentor mentee, minda sihat, E-Operasi, E-Pangkat, E-Prestasi, program bantu baca, hari terbuka, gubal soalan ujian, aktiviti sukan dan banyak lagi yang boleh disenaraikan.
“Bukan nak buat perbandingan ke, nak merungut ke apa. Cuma ingin jelaskan pada pengguna media sosial yang nampak tugas guru hanya masuk kelas mengajar. Dan sebagai justifikasi kenapa ramai bersara awal. Benda-benda inilah punca.
“Sekarang faham dah kan kenapa cikgu-cikgu masih hadap komputer riba walau dah pukul 2 atau 3 pagi? Kerja mereka bukan hanya mengajar dalam kelas, sebab itu sekejap sahaja. Tugas sampingan ini yang lebih banyak sebenarnya,” tulisnya.
Mohd. Fadli turut berkongsi laporan Kosmo! di dalam hantarannya bagi menjawab persoalan orang ramai yang mengambil remeh bebanan seorang guru.
Sehingga kini hantaran tersebut telah mendapat 4,700 tanda suka dan 722 perkongsian.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan bebanan tugas pendidik selain sistem pendigitalan secara dalam talian yang tidak mampu dikuasai terutama dalam kalangan guru lama antara faktor ramai warga pendidik memohon untuk bersara awal.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, perkara itu antara isu yang sekian lama diperkatakan selain pernah diutarakan kepada Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris antara yang paling ramai memohon bersara awal berdasarkan rekod KPM sepanjang 2021 dan 2022. – KOSMO! ONLINE