KLUANG – Enam remaja lelaki ditahan kerana bergaduh di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Langsat di bandar ini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam itu dipercayai berlaku bermula daripada perang mulut antara dua orang remaja.
Katanya, akibat daripada rasa tidak puas hati berlaku pergaduhan antara mangsa berusia 18 tahun dengan empat orang remaja lain yang juga rakannya.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila salah seorang daripada mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan-rakannya.
“Susulan daripada kejadian itu, lima rakannya yang berusia 15 hingga 18 tahun ditahan secara berperingkat semalam,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.
Menurut Bahrin lagi, semua tangkapan serta rampasan termasuk kerusi dan telefon bimbit telah diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukk human penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.-KOSMO! ONLINE