fbpx

Tidak mudah cari pengganti Choong Han

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KENNY

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengakui tidak mudah untuk mencari pengganti bagi mengisi kekosongan ditinggalkan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya mungkin memerlukan sedikit masa bagi ‘memburu’ khidmat calon yang benar-benar berkelayakan untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Jelas beliau, Choong Hann yang menyertai ABM sejak 2018 sudah meletakkan penanda aras cukup tinggi bersama badan induk itu, sekali gus memaksa BAM untuk membuat penilaian terbaik terhadap calon-calon pengganti.

“Seperti yang dimaklumkan, saya boleh sahkan Choong Hann sudah menghantar surat peletakan jawatan. Memang kita hargai sumbangan serta bakti yang diberikan beliau sejak menjadi pengarah kejurulatihan sejak 2018.

“Sekarang cabaran kami adalah untuk mencari pengganti yang benar-benar layak. Bukan mudah untuk mengisikan kekosongan tersebut kerana Choong Hann sudah letakkan penanda arasa cukup tinggi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam.

Terdahulu, BAM mengesahkan peletakan jawatan Choong Hann selepas bekas naib juara dunia itu merasakan sudah tiba masanya untuk dia meninggalkan badan induk tersebut selain menganggap dia mungkin tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Keputusan yang diambil Choong Hann dilihat sebagai tamparan hebat buat ABM selepas Michelle Chai turut melepaskan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bulan lalu diikuti Pengarah Prestasi Tinggi, Dr. Tim Jones.

Justeru, kekosongan ditinggalkan Choong Hann akan diisi oleh Hendrawan bagi mengemudi skuad perseorangan negara dengan dibantu Datuk Tey Seu Bock dan James Chua.

Sementara itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyatakan penghargaan terhadap peranan serta sumbangan yang dibuat Choong Hann ketika berkhidmat bersama badan induk tersebut.

“Choong Hann banyak berkorban sepanjang perkhidmatannya bersama BAM. Bagi pihak BAM dan Majlis, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan. Ramai pemain mendapat manfaat daripada kepimpinannya,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI