fbpx

Suami baharu Mizz Nina rupa-rupanya bukan calang-calang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIZZ NINA menyifatkan Essam sebagai lelaki yang seiring dan mempunyai hala tuju sama dengannya.

PETALING JAYA – Pengumuman mengejut Mizz Nina tentang pernikahan dengan lelaki pilihan hati bernama Essam Muhammad mencetuskan rasa ingin tahu khalayak terhadap identiti pencuri hati penyanyi dan aktivis kemanusiaan itu.

Biarpun sekadar memaklumkan mereka bernikah sekitar suku kedua 2023, khalayak menebak pasangan sepadan itu baharu sahaja bergelar suami isteri.

Mengakui mereka mempunyai banyak persamaan terutama dalam kerja dakwah, Essam yang disebut sebagai seorang penyanyi rap, Amerika Syarikat itu sebenarnya seorang yang bukan calang-calang, bahkan seorang penulis lirik, penyajak dan aktivis kemasyarakatan yang cukup dikenali dalam komunitinya.

Berdasarkan carian Kosmo! Online, difaham Essam sudah mula terdedah dan mendekati muzik rap sejak berusia sembilan tahun.

Sebagai pemuzik dan pencinta seni, Essam urut membuka ruang kepada golongan muda setempat mengenal dunia puisi dan tegar memperjuangkan dakwahnya hingga ke luar negara.

Seni muzik, sajak serta dakwah telah membawa Essam ke Malaysia selain Afrika Selatan, United Kingdom, Holland serta Switzerland.

Pada 2020, Essam telah menghasilkan dua album yang menyelitkan lagu berunsur dakwah dan kemanusiaan berjudul 12.12 serta Chapter20six.

Difahamkan lelaki berdarah Maghribi lingkungan usia 30-an itu turut menggenggam ijazah dalam pengajian media dan komunikasi sekitar 2016.

Bukan sahaja dalam bidang muzik, Essam turut terbabit dalam penerbitan sebuah filem berjudul Purple Don’t Cry yang ditayangkan di Festival Filem Seattle, baru-baru ini.

Malam tadi Mizz Nina berkongsi kegembiraan dengan mendedahkan status terbarunya sebagai isteri kepada Essam.

Majlis pernikahan pemilik nama penuh Shazrina Azman, 43, itu dilangsungkan secara tertutup dan hanya dihadiri ahli keluarga serta sahabat terdekat yang dipercayai diadakan di luar negara.

Majlis resepsi pasangan pengantin baharu itu pula bakal diadakan Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.

Ini adalah perkahwinan kedua Mizz Nina yang pernah mendirikan rumah tangga dengan Noh Salleh pada 2 Julai 2011 namun bercerai 4 Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, Noh juga bakal menamatkan status duda selepas mengikat pertunangan dengan seorang peguam pada 7 Mei lalu.

Mizz Nina dan Noh mempunyai seorang anak angkat lelaki bernama Musa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI