PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya terpaksa melepaskan dua tonggak kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan Feroz Baharudin daripada kem latihan pusat kebangsaan kerana mengalami kecederaan baru-baru ini.
Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon menyatakan Natxo telah hadir melapor diri bersama pemain lain pada 10 Jun tetapi dilaporkan oleh pegawai perubatan tidak cergas untuk mengharungi aksi persahabatan bertemu Kepulauan Solomon kelmarin.
Kata Pan-gon, situasi berbeza melibatkan Feroz yang diletakkan dalam kesebelasan utama tetapi terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama kerana kecederaan hamstring.
“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya sedikit terkilan kerana tidak dapat menguji sepenuhnya kedua-dua pemain itu pada jendela hari perlawanan FIFA kali ini tetapi pada masa yang sama berasa sedih atas kecederaan dialami oleh Natxo dan Feroz.
“Semoga mereka cepat sembuh dan boleh kembali beraksi dalam saingan liga domestik bersama JDT, seterusnya kembali cergas untuk dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang.
“Skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 24 pemain lain termasuk Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, pengendali import dari Korea Selatan itu turut berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik JDT atas kesediaan dan keprihatinan beliau untuk skuad Harimau Malaya menggunakan khidmat pemain dari kelab itu.
“Separuh daripada skuad Harimau Malaya ini dibarisi pemain dari JDT dan sudah tentu, dengan sokongan dan bantuan Tunku Ismail, kami di barisan kejurulatihan Harimau Malaya dapat membentuk gandingan dan gabungan skuad yang mantap bersama pemain dari kelab lain yang dipanggil kali ini,” katanya.
Skuad negara berjaya melakar kemenangan bergaya ke atas Kepulauan Solomon dengan keputusan 4-1 pada aksi Rabu lepas. – KOSMO! ONLINE