ALMANCIL – Penyerang Perancis, Randal Kolo Muani berharap rakan sepasukan tidak memandang rendah kemampuan Gibraltar menjelang aksi Kumpulan B Kelayakan Euro 2024 di Stadium Algarve awal pagi esok.
Meskipun berdepan pasukan tidak ternama, namun pemain Eintracht Frankfurt itu mahu pemain-pemain Perancis memberikan segala-galanya pada pertemuan tersebut bagi mengekalkan rekod bersih.
Kolo Muani percaya aksi menentang Gibraltar adalah peluang terbaik untuk mereka meningkatkan kemampuan kerana setiap pemain berpeluang menunjukkan kebolehan masing-masing kepada barisan kejurulatihan.
“Kami mahu bermain dengan penuh keyakinan ketika bertemu Gibraltar nanti. Saya tahu ia bukanlah negara yang dikenali kerana hampir keseluruhan pemain mereka beraksi dalam liga sendiri.
“Apa yang saya mahu adalah supaya Perancis dapat menguasai sepenuhnya permainan. Bagi jentera serangan, hasrat kami adalah untuk menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh dan memperbaiki penyudah,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga menganggap legenda Les Bleus, Olivier Giroud sebagai idola selain mahu mengulangi pencapaian yang dibuat pemain AC Milan tersebut sepanjang bersama Perancis.
“Banyak yang saya boleh belajar daripada dia, terutamanya kemampuan untuk menghidu peluang di hadapan gol. Saya juga berharap boleh mengikut jejak langkahnya yang cemerlang bersama Perancis dan dalam karier saya sebagai seorang pemain bola,” ujar Kolo Muani. – AGENSI