fbpx

Mahkamah: Aktivis haiwan mohon Jabatan Peguam dakwa penyeksa kera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia Global (Hidup) dan seorang aktivis haiwan hari ini memfailkan tindakan undang-undang bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa seorang individu yang menyeksa dan membunuh anak-anak kera untuk hiburan.

Dr .Kartini Farah Abdul Rahim, 50, dan pertubuhan itu selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman menerusi Tetuan Raj & Sach di Mahkamah Tinggi, di sini, dengan menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), AGC dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama hingga ketiga.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, permohon memohon satu perintah untuk membatalkan keputusan AGC bertarikh 5 April 2023 untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap siasatan laporan polis yang dibuat oleh pemohon.

Selain itu, pemohon juga memohon perintah mengarahkan AGC menuduh individu berkenaan di bawah undang-undang yang sewajarnya.

Mengulas lanjut dalam tuntutan itu, pemohon mendakwa pada 20 Januari lalu, pihaknya telah mendapat makluman daripada dua persatuan pencinta haiwan dari United Kingdom dan Amerika Syarikat mengenai satu kumpulan penyeksa monyet yang mana individu berkenaan telah bertindak sedemikian dan terdapat ratusan ahli yang menyertai kumpulan tersebut di Telegram.

“Rakaman video-video tersebut kemudian menunjukkan perbuatan penyeksaan terhadap anak-anak monyet jenis kera (long-tailed macaques atau Macaca fascicularis).

“Pada tarikh sama saya kemudian telah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, Selangor yang mengandungi maklumat terperinci mengenai individu terbabit.

“Semasa siasatan, individu berkenaan mengaku telah menyeksa anak-anak kera itu dengan mengerat leher guna gunting, bakar kera ketika ia masih hidup dan potong jari haiwan berkenaan satu persatu di dalam tandas rumahnya,” katanya.

Bagaimanapun, wanita itu mendakwa pada 5 April lalu, peguamnya menerima surat daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang memaklumkan bahawa kertas siasatan bagi laporan polisnya telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, namun ia telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

Katanya, keputusan AGC yang mengklasifikasikan laporan polisnya sebagai NFA adalah tidak munasabah dan salah dari segi prosedur kerana individu tersebut telah membuat pengakuan terhadap perbuatannya kepada pihak polis

Sebelum ini, media melaporkan Hidup tampil membuat laporan polis selepas menerima maklumat daripada kumpulan kebajikan haiwan, dari AS dan UK.

Suspek dikatakan merakam aksi penyeksaan terhadap haiwan berkenaan dan menjual rakaman itu yang digelar ‘porn torture’ menerusi satu kumpulan Telegram bernama ‘Monkey Haters.

Kemudian pada Februari lalu, PDRM sudah mengenal pasti suspek yang mendera dan menyeksa kera atau ‘Long-tailed Macaque’ seperti yang dilaporkan sebuah kumpulan hak asasi haiwan, baru-baru ini.

Pada masa sama, polis turut menyangkal dakwaan bahawa pihak polis tidak mengambil tindakan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI