KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita sebanyak 32,752 liter diesel bernilai lebih RM66,990 dalam dua serbuan di Kuala Krai dan Pasir Puteh, dekat sini, baru-baru ini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, kesemua bahan api itu dipercayai disimpan tanpa kebenaran dan dokumen sah untuk penyimpanan diesel daripada pengawal bekalan.
Menurutnya, rampasan pertama melibatkan 20,000 liter diesel yang dibawa oleh sebuah treler dan sebuah bot ikan kelas C di jeti Tok Bali, Pasir Puteh kira-kira pukul 6.30 petang pada Selasa lalu.
“Rampasan itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, dalam Ops Kontraban membanteras ketirisan barang kawalan di sekitar sempadan negara.
“Bagi kes kedua pula, ia melibatkan 12,752 liter diesel yang dibawa sebuah lori tangki di Kuala Krai pada pukul 5 petang kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – KOSMO! ONLINE