BANGKOK – Kempen anjuran Layanan Beretika terhadap Haiwan (PETA) yang mendakwa monyet di Thailand didera ketika memetik buah kelapa telah menjejaskan eksport bahan itu di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Akhbar The Nation Thailand melaporkan, kerajaan negara itu digesa melantik pelobi di dua rantau berkenaan bagi menentang kempen tersebut yang mendesak pembeli memboikot produk santan dari Thailand.
Menurut PETA dalam kempennya, monyet dipergunakan untuk memetik buah kelapa di ladang-ladang di Thailand selain ia turut dilayan dengan buruk.
“Kempen itu terus memberi kesan bagi eksport santan dari Thailand,” kata satu sumber sektor swasta.
Tambah pengamal industri, kempen PETA dibuat berdasarkan maklumat palsu, di mana beberapa video yang dikongsikan memaparkan imej monyet dirantai, dilayan dengan buruk dan dilatih dengan tegas untuk memetik buah kelapa di Thailand.
Kempen tersebut telah membawa kepada penurunan dalam pembelian serta menyebabkan pengimport dan pedagang AS serta Eropah mengurangkan pembelian produk berkenaan dari Thailand.
Menurut syarikat-syarikat pengeluar dan pengeksport santan, mereka tidak menggunakan monyet dalam proses memetik buah, sebaliknya menggunakan teknik penanaman pokok ‘kerdil’. Ia bermaksud pokok ditanam dalam saiz lebih pendek bagi memudahkan proses memetik.
Thailand membekalkan kira-kira 80 peratus daripada santan kelapa di pasaran global.
Sekiranya kempen oleh PETA berterusan, negara itu mungkin akan kehilangan penguasaan pasaran kepada pesaingnya, Filipina dan Sri Lanka. – Agensi