fbpx

IQ dan EQ kanak-kanak perlu seimbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU bapa perlu memastikan perkembangan IQ dan EQ anak mereka seimbang. – Gambar hiasan

SETIAP ibu bapa mengharapkan anak mereka membesar dengan perkembangan kecerdasan intelektual (IQ) yang baik.

Kadangkala, terdapat ibu bapa yang terlalu menekankan aspek IQ sehingga mengabaikan kecerdasan emosi (EQ) anak mereka.
Pakar kesihatan berpendapat, terlalu menitikberatkan IQ serta kurang perkembangan seimbang antara IQ dan EQ akan menyebabkan kanak-kanak kurang bersedia untuk masa hadapan.

Sebaiknya, setiap ibu bapa harus mengambil berat mengenai perkembangan seimbang IQ dan EQ kerana masa depan yang sentiasa berubah.

Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, Dr. Rakhee Yadav berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Morbiditi Kesihatan 2019, dianggarkan seorang daripada 20 kanak-kanak di Malaysia berusia lima hingga sembilan tahun mengalami gangguan mental.

Menurutnya, keseimbangan perkembangan IQ beserta EQ membolehkan kanak-kanak berkembang secara holistik.

“Kanak-kanak memerlukan perkembangan IQ dan EQ yang seimbang untuk menghadapi masa hadapan.

“Meskipun kejayaan profesional menjadi cita-cita kebanyakan ibu bapa kepada anak-anak mereka, namun ia sama penting untuk mewujudkan generasi masa hadapan yang mampu membina hubungan sosial.

“Pada masa sama, kanak-kanak perlu dilatih mengendalikan tekanan dan menjalani kehidupan dengan yakin untuk menempuh cabaran kehidupan serba pantas ketika ini,” katanya sewaktu pelancaran Holistic Brian Expo baru-baru ini.

Sementara itu, Dr. Rakhee menjelaskan, semua ibu bapa mahu anak-anak mereka pandai dan boleh menggunakan kepandaian tersebut.

“Jika pandai sahaja tetapi kanak-kanak itu tidak tahu menjaga emosi, memotivasi diri, bersosial dan lain-lain lagi, ia sesuatu yang tidak baik.

“Oleh itu, kombinasi antara IQ dan EQ adalah amat penting.

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam hal ini.

DR. RAKHEE
(kiri) dan Pike See (dua dari kanan) sewaktu pelancaran Holistic Brain Expo baru-baru
ini.

“Apa yang mereka perlu lakukan adalah berinteraksi dan meluangkan masa bersama-sama anak-anak,” terangnya.

Dalam pada itu, aspek pemakanan juga penting dalam membantu tahap perkembangan EQ kanak-kanak.

Dr. Rakhee menjelaskan, otak manusia merupakan satu ciptaan semula jadi yang menarik.

Menurutnya, semasa pertumbuhannya, sel-sel otak berkembang untuk membina pelbagai sambungan dan rangkaian.

“Lebih banyak sel otak berhubung, ia dapat menyokong perkembangan holistik otak.

“Milk Fat Globule Membrane (MFGM) dan asid dokosaheksaenoik (DHA) mengeluarkan bahan kimia otak yang disebut sebagai neurotransmitter.

“Ia berfungsi menghantar maklumat dari satu sel otak ke sel yang lain, sekali gus mengawal kebolehan mental serta emosi kanak-kanak.

“Jadi, penting bagi ibu bapa memahami khasiat yang diperlukan ketika usia awal si kecil dan pemakanan harus mengandungi MFGM.

“Ia bagi membantu menyokong EQ dan tahap DHA untuk perkembangan IQ seperti disarankan oleh pakar,” ulasnya.

Tambahnya, manfaat pemakanan berlanjutan sehingga zaman remaja dapat membentuk kesejahteraan intelektual dan emosi kanak-kanak dalam jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Pakar Neurosains dan Anatomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Cheah Pike See berkata, pemakanan, jalinan hubungan dan pengalaman adalah blok-blok pembinaan penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Ujarnya, elemen-elemen tersebut meyumbang kepada kebolehan intelektual, emosi dan sosial seseorang kanak-kanak.

“Ibu bapa dan pendidik perlu menyediakan pemakanan betul, sokongan emosi serta pengalaman positif kepada kanak-kanak.

“Perkara ini menjadi asas kepada kejayaan masa depan dan perkembangan holistik sepanjang hayat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN