KUCHING – Kumpulan Baby yang aktif melakukan jenayah samun dan ragut sejak tiga bulan lalu akhirnya tumpas, apabila tujuh ahlinya berjaya ditangkap polis.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kesemua suspek terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warga tempatan berumur antara 23 hingga 30 tahun ditangkap oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada 6 Jun lalu di sekitar Daerah Padawan dan Kuching.
“Modus operandi kumpulan ini adalah mensasarkan warga emas sebagai mangsa pada waktu pagi.
“Kumpulan ini bergiat aktif di Daerah Kuching, Kota Samarahan dan Padawan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Sarawak, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata kesemua suspek mempunyai rekod jenayah samun, curi dalam bangunan, curi kenderaan dan dadah.
Justeru, Mohd Azman berkata dengan tertumpasnya kumpulan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes samun, dua kes curi dalam bangunan dan satu kes curi motosikal.
Katanya turut dirampas daripada suspek adalah sebuah motosikal yang masih dilaporkan hilang di Daerah Padawan.
Selain itu beliau berkata pihak polis juga merampas sembilan telefon bimbit, empat kad bank dan 11 bilah senjata tajam daripada suspek.
Mohd Azman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, 380 Kanun Keseksaan dan 379 Kanun Keseksaan.
“Kesemua suspek masih dalam tahanan reman sehingga 17 Jun ini untuk siasatan lanjut dan setelah tempoh tahanan reman berakhir, kesemua kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak untuk arahan pertuduhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan penghargaan pihaknya kepada masyarakat dalam menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya kesemua suspek.
“Pihak polis berkeyakinan penuh dengan tumpasnya kumpulan ini akan menghilangkan kegusaran masyarakat terhadap jenayah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE