LONDON – Pemain tengah England, Jude Bellingham percaya pasukan itu memiliki kemampuan untuk merangkul kejuaraan utama pada Euro 2024 yang dijadualkan berlangsung 14 Jun hingga 14 Julai tahun depan.
Sejak berada di bawah kendalian Gareth Southgate sejak November 2016, skuad The Three Lions beberapa kali hampir mengecap kejuaraan termasuk muncul naib juara pada saingan Euro 2020.
Justeru, Bellingham melaungkan keyakinan mereka mampu menamatkan penantian itu menjelang aksi Kumpulan C kelayakan Euro 2024 menentang Malta di Stadium Nasional Ta’Qali awal pagi esok nanti.
“Saya tahu penyokong-penyokong England dapat merasakan kami mampu lakukannya (juara), mereka bercita-cita tinggi, tetapi tidak bodoh. Mereka ada sebab tersendiri untuk letakkan harapan kepada pasukan.
“Secara hakikat, kami sentiasa berikan yang terbaik untuk realisasikan impian tersebut. Sudah tentu setiap pemain England mahu menjulang trofi dan memenangi kejohanan, namun ia akan dilakukan langkah demi langkah,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga berharap pemain-pemain England boleh menjadikan pengalaman sebelum ini sebagai pembakar semangat bagi menamatkan penantian mereka memenangi kejohanan antarabangsa.
“Banyak pasukan hebat sebelum ini tidak menang serta-merta kerana ia memerlukan masa. Kami berdepan banyak kekecewaan sebelum ini, jadi ia akan dijadikan sebagai pengajaran untuk kejohanan seterusnya,” ujar Bellingham. – AGENSI