GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan 38 suspek termasuk empat wanita dipercayai ah long dalam operasi khas membanteras aktiviti pinjaman wang tanpa lesen di negeri ini sejak 5 Jun lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tangkapan ke atas kesemua suspek terbabit dilakukan di sekitar Pulau Pinang dan juga negeri jiran.
“38 tangkapan ini berumur antara 21 dan 72 tahun dan kesemua mereka ditahan dalam operasi khas yang dijalankan bermula 5 Jun lalu hingga semalam.
“Kebanyakan tangkapan dibuat di Pulau Pinang. Bagaimanapun, terdapat beberapa tangkapan yang dibuat di negeri jiran selepas mereka melarikan diri,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL), di sini hari ini.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihak polis sedang memburu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang menghantar sepucuk surat amaran dan ugutan jenayah kepada Ketua Polis Pulau Pinang.
Surat layang tersebut yang ditujukan kepada Kok Chin dimasukkan di dalam sampul surat, telah diterima pada 1 Jun lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia.
Menurut Kok Chin, kesemua 38 suspek yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada suspek-suspek yang ditahan itu terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap beliau, Kok Chin memberitahu yang pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka. – KOSMO! ONLINE