fbpx

Dua kertas siasatan dibuka terhadap wanita herdik polis pangkat rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar wanita tempatan berkenaan menghina polis pangkat rendah di sebuah kedai makan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang wanita tempatan menghina dua pegawai polis di sebuah kedai makan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, wanita berkenaan bertindak memarahi anggota polis bertugas kerana membuat bising di rumah jiran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek kemudiannya memperkenalkan diri sebagai penjawat awam dengan nada suara yang tinggi dan mengatakan ingin menahan pengadu atas alasan pengadu telah membuat bising.

“Suspek mengugut untuk memukul pengadu dan turut memarahi semua orang yang berada di tempat kejadian.

“Suspek juga turut mempersenda pegawai rendah polis dan tidak memberikan kerjasama untuk menunjukkan kad kuasa apabila diminta,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan seterusnya, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menggunakan perkataan yang kurang sopan, aib atau menghina.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua video yang tular di media sosial berhubung kejadian tersebut. Bertindak atas maklumat, suspek telah dikenalpasti dan telah dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Gombak untuk siasatan selanjutnya.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terus menularkan video tersebut dan memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam serta tidak mengganggu proses siasatan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI