fbpx

Terbuka Indonesia: Dua beregu lelaki ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai cabaran Malaysia pada pusingan kedua kejohanan Terbuka Indonesia hari ini.

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara tampil menyelamatkan maruah Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia apabila dua wakil berjaya melepasi halangan awal untuk melangkah ke pusingan kedua hari ini.

Beregu kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta gandingan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terus menggalas misi negara pada kejohanan yang bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 itu.

Pada pusingan pertama yang berlangsung semalam, Aaron-Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menjinakkan wakil tuan rumah, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-16, 21-12.

Sementara itu, Ee Yi-Yew Sin yang beraksi lebih awal Selasa lalu dipaksa bekerja keras sebelum mengenepikan cabaran beregu India, M.R. Arjun-Dhruv Kapila 12-21, 21-6, 22-20.

Kemenangan dua beregu tersebut sedikit sebanyak mengubat kekecewaan peminat-peminat badminton tanah air selepas sebahagian besar pemain negara termasuk dua perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong tersingkir di pusingan pertama.

Turut mengikut jejak langkah dua beregu lelaki tersebut adalah beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang berjaya menewaskan gandingan England, Gregory Mairs-Jenny Moore 21-14, 21-13.

Menjelang pusingan kedua hari ini, Aaron-Wooi Yik akan bertemu Choi Solgyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan manakala Ee Yi-Yew Sin membuat perhitungan dengan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Dalam pada itu, Kian Meng-Pei Jing dijadualkan bertemu satu lagi beregu tuan rumah, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI