fbpx

Sungai Rengat gamit kunjungan pelawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aliran perlahan air Sungai Rengat di Kampung Koi Ulu Cheka, Jerantut, Pahang sesuai untuk aktiviti mandi-manda.

PERJALANAN menaiki pacuan empat roda menuju ke Pusat Kembara dan Rekreasi Sungai Rengat di Kampung Koi Ulu Cheka, Jerantut, Pahang memiliki cabarannya tersendiri.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Jerantut, pengunjung perlu melalui jalan berliku merentasi kebun sawit dan getah selama 20 minit sebelum tiba di destinasi tersebut.

Bagaimanapun, pemandangan memukau Gunung Benum yang berlatarbelakangkan langit biru, menjadikan perjalanan jauh itu cukup berbaloi.

Sekiranya bertuah, pengunjung berpeluang disapa ramah komuniti Orang Asli saat jentera pacuan empat roda yang dinaiki melalui kawasan perkampungan mereka.

Perjalanan indah tersebut hanyalah permulaan sebelum panorama bagaikan di alam fantasi menanti pengunjung di lokasi utama.

Setiba di destinasi, deruan air sungai jernih dari lembah-lembah Gunung Benom serta sumber air bawah tanah yang berpunca dari Lata Buta melengkapkan lagi pengalaman indah tersebut.

Menurut Pengasas Persatuan Kembara dan Rekreasi Sungai Rengat Jerantut Pahang (KSR Adventure), Hazri Hazmi, tarikan utama kawasan tersebut adalah keunikan aspek geologi dan ekologinya.

“Pelbagai spesies flora unik iaitu pokok -pokok balak, bunga, orkid dan herba terdapat di hutan sekeliling.

“Dari segi fauna pula, pengunjung dapat ‘cuci mata’ melihat burung-burung liar menghiasi langit serta bunyi serangga dari hutan,” ujarnya kepada Horizon baru-baru ini.

Pihak Tourism Malaysia giat melakukan usaha untuk mempromosikan Sungai Rengat.

Untuk makluman, KSR Adventure adalah pertubuhan yang ditubuhkan oleh golongan belia di Kampung Koi, Mukim Hulu Cheka pada akhir tahun 2018.

Pertubuhan tersebut secara rasmi diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada April 2019.

Usaha yang disokong oleh Penghulu Mukim, Khairul Akhma Yusof itu dibuat bagi melindungi lokasi daripada ancaman penerokaan haram dan pencemaran.

Biarpun terpencil, Pusat Kembara dan Rekreasi Sungai Rengat sesuai dikunjungi oleh seisi keluarga kerana kawasannya yang mesra pengunjung.

Di lokasi utama, terdapat kemudahan seperti dewan terbuka, tandas serta bekalan air bersih.

Sementara itu, bagi golongan yang gemarkan cabaran, mereka boleh memilih untuk pergi ke kawasan lebih tinggi di Lubuk Hang Tuah.

Lubuh Hang Tuah yang terletak kira-kira 10 minit dari Sungai Rengat memberikan pengalaman eksklusif kepada pengunjung yang mahukan ruang peribadi.

Tambah Hazri, pengunjung yang datang perlu menghubungi mereka terlebih dahulu bagi tujuan merekod kemasukan dan keselamatan.

“Untuk ke lokasi utama iaitu Sungai Rengat, pelawat boleh naik kenderaan biasa, tetapi untuk ke Lubuk Hang Tuah perlu guna pacuan empat roda.

“Selain mandi-manda, pengunjung boleh menganjurkan aktiviti sukarelawan di sini,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI