fbpx

Stor simpanan dadah RM3.7 juta didalangi warga Iran tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaily (tengah) menunjukkan bungkusan ganja yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan kegiatan seorang lelaki warga Iran yang menjadikan kondominium mewah sebagai stor simpanan dadah jenis syabu dan ganja dalam serbuan berasingan di sekitar Sentul dan Wangsa maju, kelmarin.

Serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kuala Lumpur itu berjaya menahan dua lelaki dan merampas dua jenis dadah bernilai RM3.7 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, seorang lelaki tempatan termasuk seorang warga asing masing-masing berusia antara 39 dan 48 tahun itu ditahan antara pukul 6 petang hingga 11 malam.

Katanya, serbuan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan ditahan di tempat letak kereta sebuah kondominium, Taman Segambut Aman, di sini.

“Polis merampas 4.2 kilogram (kg) syabu bernilai RM139,000 yang dijumpai di dalam sebuah kereta Toyota jenis Estima dan suspek turut positif methamphetamin.

“Membawa kepada serbuan kedua, seorang lelaki warga Iran ditahan di sebuah unit kondominium di Jalan Ampang pada hari yang sama.

“Suspek ditahan bersama syabu bernilai RM 3.4 juta (103.3 kg) dan ganja bernilai RM107,000 (34.7 kg) namun tiada rekod lampau dan negatif dadah,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Suhaily memaklumkan, kegiatan pengedaran dadah ini telah aktif beroperasi sejak Mei tahun lalu dan lelaki warga tempatan yang ditahan merupakan seorang penganggur dan berstatus bujang.

“Suspek kedua pula merupakan jurutera dan duda anak tiga dan aktif mengedar dadah di negara asal sejak 2014. Suspek telah masuk ke Malaysia dengan menggunakan visa pelancong,” ujarnya.

Menurut beliau,  jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak RM3.7 juta selain sebuah kereta jenis Perodua Alza bernilai RM 30,000 dan wang tunai RM500.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa hadapan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya . – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI