PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka permohonan kepada mana-mana pihak untuk menjadi pemerhati bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bermula hari ini sehingga 7 Julai depan.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
“Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian bagi proses-proses pilihan raya seperti penamaan calon, berkempen, pengundian awal, pengundian, pengiraan undi dan penjumlahan rasmi undi sehinggalah pengisytiharan keputusan pilihan raya.
“SPR mengingatkan agar mereka yang berminat untuk menyertai program ini supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Ikmalrudin berkata, kepada mereka yang berminat untuk menjadi pemerhati ketika PRN boleh memuat turun Borang Permohonan di Portal SPR di https://www.spr.gov.my. – KOSMO! ONLINE