fbpx

Sarjan polis didakwa 21 pertuduhan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (kiri) diringi pegawai SPRM di Mahkamah Butterworth hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas 21 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,530 daripada seorang individu enam tahun lalu.

Tertuduh, Che Ani Ramli,56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu berkhidmat sebagai Koperal Polis YA3 di Gerakan Polis Marin, Batu Uban didakwa menerima suapan daripada seorang individu berusia 70 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Berhad Cawangan Plaza MWE, George Town dan Agrobank Taman Seri Indah, Balik Pulau antara 19 Mac 2017 sehingga 21 Mei 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Irwan Syafiq Nor Ridzuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Che Ani kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana masih menanggung isteri dan tiga daripada empat anak yang masih bersekolah.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 1 Ogos depan.

Pada 27 Februari lalu, suspek ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira pukul 1.10 tengah hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pemilik-pemilik syarikat perikanan di sekitar negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI