fbpx

Rundingan akhir kerusi PH, BN malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAFIZI pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal, RMK12 bersama Kementerian Ekonomi di Bandar Hilir, Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Rundingan akhir pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri akan berlangsung malam ini.

Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli berkata, beliau akan mempengerusikan rundingan tersebut bagi pihak PH sementara BN akan diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, hasil rundingan tersebut kemudiannya akan dibawa ke peringkat Pengerusi PH dan BN untuk dimuktamadkan.

“Kita dah ada semua calon kerusi. Kerana ini adalah kali pertama kita akan masuk pilihan raya negeri (PRN) bersama-sama dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan, maka kita mahu melalui dan memuktamadkan kerusi itu dahulu.

“Malam ini adalah rundingan kerusi yang terakhir di peringkat perundingan, maksudnya tempoh untuk memuktamadkan hampir selesai. Selepas itu proses calon dan sebagainya akan berjalan dengan cepat (lancar) kerana kita memang sudah ada proses itu sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai pemilihan calon, Mohd. Rafizi berkata, kriteria calon bergantung kepada parti masing-masing dan PKR membenarkan sesiapa sahaja menjadi calon dan permohonan akan dibuka dalam tempoh seminggu selepas kerusi dimuktamadkan.

“Sudah tentu cabang dan sayap setiap negeri mempunyai calon masing-masing, semua permohonan akan ditapis dan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Calon yang akan saya pengerusikan bersama ahli-ahli lain seperti Naib Presiden, Ketua Wanita PKR dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

“Akhirnya kita akan senarai pendek tiga nama untuk setiap kerusi dan saya akan berbincang bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita nampak (pemilihan calon) tenang dan damai untuk PRN kali ini sebab proses ini sudah diterima dan PH sendiri telah melalui banyak pilihan raya bersama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI