fbpx

Perlu kos tambahan hantar anak OKU ke sekolah khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBNU MUHAMAD (tiga dari kiri) bersama isteri dan empat anaknya di rumahnya di Taman Bukit Teratai, Ampang Jaya baru-baru ini.

AMPANG JAYA – Kehidupan sebuah keluarga diibaratkan sebagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ini kerana ketua keluarganya, Ibnu Muhamad Ali Maimun, 37, yang bekerja sebagai pencuci kereta hanya memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan me­nyara isteri dan empat orang anak.

Kata Ibnu Muhamad, dia tertekan kerana dengan wang sebanyak itu dibelanjakan untuk keperluan keluarga.

“Setiap bulan RM1,000 di­belanjakan untuk bayaran sewa rumah, tidak termasuk bayaran bil elektrik dan air.

“Mujur saya dapat bantuan sebanyak RM600 sebulan daripada pusat zakat untuk membayar sewa rumah, namun ia masih tidak cukup. Kadang-kadang saya terpaksa meminjam daripada rakan-rakan.

“Saya kini buntu kerana tidak tahu nak pinjam dengan siapa lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Te­ratai, di sini baru-baru ini.

Menurut Ibnu Muhamad, tiga daripada empat anaknya itu merupakan peme­gang kad orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan pemantauan dewasa setiap masa dan kini dijaga iste­rinya, Saidatul Hasliza, 37, ketika dia keluar bekerja.

Ujarnya, anak pertama Ahmad Saiful Izham, 16, menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau gejala hiperaktif, Nur Asyura Aisyah, 7, (ketiga) pula menghidap disleksia, manakala Muhammad Raiqal Izham, 3, disahkan menghidap autisme.

Tambahnya, dia kini memerlukan kos tambahan berikutan anak sulung dan ketiganya perlu dihantar ke sekolah khas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan disleksia.

“Dahulu mereka belajar di sekolah biasa, tetapi sering dibuli rakan-rakan.

“Atas nasihat guru, kami terpaksa pindahkan mereka demi keselamatan,” ujar­nya.

Orang ramai yang ingin ­menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan kepada nombor akaun Hong Leong Bank 00250400986 atas nama Ibnu Muhamad Ali Maimun.

Mereka juga boleh menghubunginya di talian 014-720 6177.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI