KANGAR – Tindakan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis perjudian mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Mufti Perlis.
Muftinya, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, ia merupakan satu langkah positif dan melambangkan identiti Islam yang ada dalam diri para pentadbir negeri itu.
“Masyarakat kita tidak tergugat daripada sudut ekonomi dan keharmonian hidup hanya kerana ada beberapa manusia yang tidak dapat berjudi.
“Judi juga bukan sumber kekuatan ekonomi sesebuah negeri. Jikalau diandaikan ia satu sumber, Allah akan menggantikannya dengan sumber yang lebih baik dan diberkati,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau lagi, kegiatan judi juga meruntuhkan institusi kekeluargaan dan menimbulkan permusuhan yang menggugat keharmonian. – KOSMO! ONLINE