PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi dibenar ke Singapura untuk melawat ahli keluarga yang menetap di republik itu selepas Mahkamah Rayuan hari ini memulangkan semula pasport antarabangsa yang ditahan berkaitan kes jenayah yang dihadapinya.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk P. Ravinthran membenarkan dokumen perjalanan Rosmah dikembalikan hari ini dan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 7 Julai ini.
Beliau yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah sebulat suara membenarkan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu.
Mahkamah Rayuan dijangka mendengar rayuan Rosmah pada 11 hingga 14 Julai ini terhadap hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta berkaitan kes solar.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru pulang dari republik tersebut bulan lalu selepas meluangkan masa bersama keluarga anaknya kira-kira enam minggu.
Permohonan tersebut merupakan kali ketiga dikemukakan oleh Rosmah manakala permohonan pertama dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Oktober 2021.
Pasportnya dipulangkan kali kedua oleh Mahkamah Rayuan pada 21 Mac lalu dan isteri bekas Perdana Menteri diarah memulangkannya semula kepada mahkamah pada 10 Mei.
Terdahulu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memaklumkan, anak guamnya dijadualkan pulang ke negara ini pada 7 Julai ini. Rosmah dijangka berada di negara itu selama tiga minggu.
Dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu, Rosmah menyatakan akan berada di Singapura untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa dan keluarga yang menetap di sana.
“Hingga hari ini saya tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah untuk sebutan dan perbicaraan tanpa alasan yang munasabah,” ujar beliau dalam afidavit sokongan yang diikrarkan pada 2 Jun lalu.
Rosmah turut memberi akujanji untuk menyerahkan pasport itu kepada mahkamah selewat-lewatnya seminggu selepas pulang daripada lawatan tersebut.
Pada 21 Mac lalu, Mahkamah Rayuan memulangkan semula pasportnya bagi membolehkan beliau melawat ahli keluarga termasuk seorang cucu yang sakit di Singapura.
Terdahulu, pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah, 72, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Hakim Mohamed Zaini (kini hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.
Rosmah yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu, mengemukakan 127 alasan antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan betul.
Isteri Najib turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – KOSMO! ONLINE