fbpx

KPM cadang bentang RUU wajibkan pendidikan peringkat menengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (kanan) melawat kelas tingkatan satu K9 yang menumpang bangunan di SK Pulau Beluru, Tumpat hari ini.

TUMPAT – Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah di Dewan Rakyat.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara tersebut sudah dalam penelitian dan perlu melalui urutan tertentu sebelum ia dapat dilaksanakan.

Menurutnya, RUU itu merupakan komitmen KPM bagi memastikan tiada anak-anak tercicir daripada mendapat pendidikan peringkat menengah.

“Dasar Pendidikan Wajib ketika ini termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996 iaitu setakat tahun enam sahaja.

“Menerusi komitmen ini, kita panjangkan dan sebar luas supaya masalah keciciran pendidikan itu dapat diatasi,” katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian Sekolah Komprehensif 9 (K9) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, pelaksanaan Sekolah K9 dilihat mampu menangani masalah keciciran pelajar di kawasan pendalaman.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 16 Sekolah Komprehensif K9 diwujudkan termasuk di Sabah, Sarawak dan Pahang.

“SK Pulau Beluru merupakan model sekolah K9 yang pertama di Kelantan. Sekolah K9 yang pertama ini menempatkan pelajar menengah bermula tingkatan satu sehingga tingkatan tiga dengan menumpang bangunan sedia ada di SK Pulau Beluru.

“Cabaran utama ibu bapa di sini mereka terpaksa menanggung kos RM30 sehari untuk hantar anak ke sekolah kerana perlu menaiki bot,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI