fbpx

Khalid terima bantuan Yakeb RM17,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Khalid Ali (tengah) ketika melakukan lawatan ke kediaman legenda bola sepak tanah air itu hari ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) terus membela nasib bekas atlet negara apabila memberikan sumbangan RM17,000 kepada legenda bola sepak tanah air, Khalid Ali bagi menampung rawatan kanser paru-paru tahap empat yang dihadapinya.

Sumbangan tersebut diserahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim ketika melakukan lawatan ke kediaman bekas penyerang Harimau Malaya itu di Kuala Lumpur yang turut disertai Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed hari ini.

Noorul Ariffin berkata, sumbangan tersebut adalah seperti yang dimohon Khalid sebelum ini bagi pembelian ubat ‘Pembrolizumab 100mg INJ Keytruda’.

“Ubat berkenaan adalah untuk proses susulan selepas Khalid menjalani dua rawatan kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 18 April dan 10 Mei lalu.

“Khalid layak mendapat bantuan berkenaan seperti termaktub dalam Skim Bantuan Khas Yakeb di bawah Bantuan Pembiayaan Rawatan Penyakit Kritikal di mana setiap ahli boleh menerima maksimum RM20,000 bagi setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Khalid turut menyuarakan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Yakeb atas sumbangan diberikan yang dilihat dapat membantu meringankan beban kos rawatannya.

“Yakeb banyak membantu saya sejak dari awal lagi mendapatkan rawatan bagi penyakit ini. Sumbangan ini sudah pasti sedikit sebanyak membantu proses rawatan kanser yang sangat mahal.

“Setakat ini, ada peningkatan positif dari segi kesihatan saya tetapi sekarang saya perlukan rawatan yang lebih kuat,” ujarnya.

Untuk rekod, selain Bantuan Pembiayaan Rawatan Penyakit Kritikal, terdapat 11 lagi jenis bantuan di bawah Skim Bantuan Khas Yakeb yang boleh dinikmati ahli. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI