PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali mengingatkan semua ketua jabatan dan pegawai atasan supaya kerap turun ke lapangan agar arahan mengenai dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan sehingga ke peringkat bawahan.
Menurutnya, bagi mengelak kebergantungan terhadap orang bawahan semata-semata, sebagai ketua mereka bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menjayakan organisasi masing-masing.
“Saya pernah lihat situasi orang beratur panjang (tapi) pukul 10 pagi dia (kakitangan) dah pergi minum, sebab itu bagi saya, ketua-ketua yang ada ini walaupun mereka tegas, keras ke apa, perlu kerap turun ke bawah, jangan harap hanya orang di bawah sahaja melaksanakan tugas.
“Sebagai ketua, orang yang bertanggungjawab memainkan peranan sebagai orang yang melaksanakan (dasar), pastikan visi yang dia dapat sampai ke (orang) bawahan.
“Sudah tentu sebagai KSN (saya) tak sempat nak pergi ke semua tempat tetapi apa yang mustahak, kita beritahu apa visi yang kita mahu, apa yang mesti dilaksanakan (dan) orang bawah terjemahkan apa yang kita nak buat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi bual bicara bertajuk ‘Dinamika Pentadbiran KSN: Pengalaman Mengurus Krisis’ sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Program Sarjana Pengurusan Awam Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama KSN di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE