KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan serta merta.
Menurut beliau, kerajaan memiliki pasukan yang sedang mengusahakannya dan beberapa cadangan berhubung perkara itu juga sedang diteliti.
“Macam elektrik kita tahu (kenal pasti) rumah, kilang, tetapi diesel dan petrol (untuk kenderaan) sukar. Mungkin boleh ambil (petrol bersubsidi) guna kereta kecil dan pindahkan kepada kereta besar. Ini semua kita sedang kaji.
“Kalau siap (kajian) esoklah (diumumkan), tetapi kita sedang mengusahakannya. Saya tidak berapa pasti (jangka masa akan diumumkan). Saya tidak mahu berikan komitmen, tetapi kita hendak leraikan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Penjaja Madani di Jalan Tunku Abdul Rahman.di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menerangkan, subsidi bersasar bermaksud bantuan yang hanya diberikan kepada golongan yang sepatutnya, bukan golongan kaya.
“Sekarang ini subsidi yang kaya pun dapat. Orang lain 90 peratus yang layak berilah. Ini Mercedes, Rolls-Royce semua dapat subsidi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE