fbpx

Jenazah ADUN Belantek, Mohd. Isa selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Allahyarham Mohd. Isa dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Surau Al-Badru, Kg Jering di Sik untuk dikebumikan pagi tadi.

SIK – Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd. Isa Shafie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Surau Al-Badru, Kampung Jering, di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham Mohd. Isa, 69, dikebumikan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani kira-kira pukul 2 pagi tadi sebelum dimandikan dan disolatkan di rumahnya di Kampung Jelutong, di sini.

Anak Allahyarham, Muniratul Akmar, 44, berkata, kesihatan bapanya merosot kira-kira pukul 1.30 tengah hari, semalam selepas 40 hari mendapatkan rawatan di HSAH.

“Ahli keluarga diminta untuk menziarahi bapa dan Alhamdulillah kami sempat meluangkan masa bersamanya dengan anak-anak yang berada jauh sempat melakukan panggilan video.

“Bapa mengalami komplikasi akibat jangkitan kuman pada jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang serta bergantung kepada antibiotik,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, anak bongsu arwah, Ameeratul Akmar, 32, berkata, bapanya demam pada 3 Mei lalu dan terjatuh di bilik air pada keesokan harinya sebelum dibawa ke Hospital Sik dengan ambulans.

“Kami kemudian dimaklumkan keadaan bapa kritikal dan perlu dipasang alat bantuan pernafasan lalu terus dibawa ke HSAH. Doktor memaklumkan keadaan bapa 50-50 sepanjang ditidurkan dengan dua kali bapa sedar tetapi tidak banyak berbual,” katanya.

Allahyarham Mohd. Isa meninggal dunia kira-kira pukul 11.23 malam semalam di HSAH dan meninggalkan seorang isteri dan lima anak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI